01. bagaimana saya boleh tahu sama ada perniagaan saya boleh difrancais (atau licensing)?
Jika perniagaan anda mempunyai kriteria awal berikut, anda boleh boleh pertimbangkan untuk bina rantaian francais atau licensing:
- Anda mempunyai produk/servis yang telah terbukti boleh dijual dan diterima pasaran.
- Produk/servis boleh didokumen dari segi pelaksanaan operasi, dilatih kepada rakan niaga dan dipantau apabila anda lantik rakan niaga.
- Anda boleh pastikan (sebaik mungkin) bekalan produk dan kualiti kepada rakan niaga sentiasa konsisten apabila ditawarkan di outlet rakan niaga.
- Anda mempunyai konsep outlet (fizikal) yang boleh dijadikan contoh/rujukan untuk bakal rakan niaga.
- Peniagaan anda sedang membuat jualan dan margin keuntungan yang selesa.
02. Saya ingin mula francais-licensing. Bagaimana saya perlu bermula?
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda ambil apabila ingin memulakan sistem francais-licensing:
- Daftarkan jenama / cap dagangan anda di MYIPO. Apabila jenama anda telah berada dalam sistem MYIPO, rakan niaga yang menggunakan jenama anda tidak boleh meniru jenama anda sebagai hak sendiri.
- Kenalpasti apakah produk/servis yang membuat jualan tertinggi dan pada masa hadapan anda boleh membekalkan stok produk/servis tersebut kepada rakan niaga secara konsisten dari segi kualiti dan kuantiti.
- Kenalpasti rantaian pembekal yang boleh terus membekal dan menyokong perkembangan rantaian francais-licensing anda kelak.
- Sediakan konsep outlet fizikal yang boleh dijadikan contoh / prototaip untuk rujukan bakal rakan niaga. Outlet ini juga perlu boleh menunjukkan kegunaan pelaburan (penyediaan) outlet dari rakan niaga akan digunakan kelak.
- Dokumenkan segala aktiviti dan proses yang berlaku dalam outlet untuk dijadikan panduan oleh rakan niaga apabila mengoperasikan konsep outlet anda kelak.
- Sediakan maklumat pelaburan untuk penawaran pakej francais-licensing kepada rakan niaga.
- Sediakan dokumen perjanjian untuk melantik rakan niaga sebagai francaisi / licensee.
- Untuk sistem francais, apabila maklumat dan dokumen telah lengkap (sila rujuk senarai semak keperluan francais), anda perlu mengemukakan permohonan lesen francais dari KPDN terlebih dahulu. Setelah lesen diperolehi barulah anda boleh menjual / menawarkan peluang perniagaan francais kepada orang awam
- Untuk sistem licensing, apabila maklumat dan dokumen telah lengkap (sila rujuk senarai semak keperluan licensing) anda boleh terus menjual / menawarkan peluang perniagaan licensing kepada orang awam tanpa perlu mendaftar / mohon lesen khas dari KPDN.
03. Saya tidak ada team besar. Bolehkah saya buat francais-licensing?
Diperingkat awal anda tidak perlu team yang besar untuk menguruskan program francais-licensing anda. Antara kakitangan awal yang perlu apabila anda mula lantik rakan niaga adalah pegawai francais-licensing (untuk membantu anda menyediakan kertas kerja serta mengurus rakan niaga yang dilantik); dan pegawai operasi (untuk membantu anda menyediakan outlet serta melatih rakan niaga dari segi pengoperasian outlet). Dari masa ke semasa, semakin rantaian outlet anda berkembang, anda perlu menambah kakitangan mengikut keperluan semasa untuk mengurus program francais-licensing anda.
04. Modal saya amat terhad. Bolehkah saya buat francais-licensing?
Ya boleh. Tujuan sistem francais-licensing adalah untuk membantu anda menambah modal perniagaan dan membiayai perkembangan outet. Anda hanya perlu membuat pelaburan minima untuk menyediakan maklumat francais-licensing dan membuat penambahbaikan kepada outlet, jika perlu.
05. Produk dan servis saya agak teknikal. Bolehkah saya buat sistem francais-licensing?
Ya boleh. Sekiranya produk atau servis anda agak teknikal (specialised), dan hanya boleh ditawarkan dengan membuka outlet yang terhad bilangannya dalam sesuatu kawasan, anda boleh tawarkan kepada rakan niaga yang terpilih sahaja. Pada kebiasaaannya disebabkan produk atau servis yang terhad, ianya memerlukan pelaburan permulaan (outlet) yang tinggi.
06. Saiz perniagaan saya kecil dan hanya ada konsep pushcart. Bolehkah saya licensing perniagaan saya?
Ya boleh. Kebanyakan jenama francais-licensing yang berjaya bermula dengan konsep outlet yang kecil sebelum dinaiktaraf ke konsep yang lebih besar. Diperingkat awal ini anda perlu pastikan penawaran konsep kecil dapat membantu anda ‘reinvest’ semula kutipan (dari yuran, royalti, jualan) untuk membina konsep yang lebih besar.
07. Sebelum ini saya dah mula licensing ikut kefahaman sendiri. Bagaimana saya boleh tambah baik rantaian licensing saya yang sedia ada?
Jika anda ingin rantaian anda berkembang secara teratur mengikut keperluan pasaran (francais-licensing); anda perlu mula mengurus rantaian mengikut amalan terbaik industri. Ini penting untuk meminimakan risiko saman dari rakan niaga dan kerugian. Ianya juga penting terutama sekali jika anda ingin membina rantaian perniagaan menggunakan sistem francais. Anda boleh bermula dengan merancang semula struktur organisasi dan penawaran perniagaan anda dengnn merujuk kepada nota dalam portal ini.
08. Bolehkah jika saya hanya ingin buat licensing dan tidak perlu untuk francais?
Anda boleh kekal untuk mengamal sistem licensing tanpa perlu ke sistem francais. Walaubagaimanapun di Malaysia sistem licensing tidak tertakluk kepada mana-mana akta khusus (seperti sistem francais dibawah Akta Francais). Ini akan menyukarkan anda untuk mengawal rakan niaga dan melindungi perniagaan apabila rantaian perniagaan menjadi semakin besar.
09. Bolehkah saya bangunkan sendiri sistem francais-licensing secara ‘in-house’ tanpa perlu lantik perunding?
Anda boleh membangunkan sistem francais-licensing anda secara in-house dengan merujuk kepada material didalam portal ini tetapi ianya akan memerlukan anda memperuntukkan masa yang lebih panjang untuk penyediaan dokumen-dokumen sistem.
10. Dimana saya boleh dapatkan pembiayaan untuk projek francais-licensing saya (dan bakal rakan niaga)?
Anda boleh merujuk kepada laman web Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) di www.pernas.my untuk maklumat pembiayaan francais-licensing.
11. Jika saya dah lantik rantaian rakan niaga dan tidak ingin teruskan perniagaan, apakah yang perlu saya lakukan?
Anda mempunyai pilihan untuk membuat pembatalan perjanjian dengan persetujuan bersama rakan niaga atau menjual keseluruhan perniagaan anda kepada pihak ketiga (pelabur).
12. Bagaimana saya boleh gunakan sistem francais-licensing untuk kekalkan (retain) kakitangan saya?
Kakitangan yang telah lama berkhidmat dengan anda atau menunjukkan potensi boleh ditawarkan untuk menjadi rakan niaga anda. Kepada mereka yang tidak minat berniaga, anda boleh tawarkan untuk mereka menjadi sebahagian dari kumpulan pengurusan francais. Anda perlu mempunyai Pelan Perkembangan Kerjaya (Career Development Plan) untuk kakitangan. Dengan cara ini mereka akan dapat melihat potensi masa depan mereka untuk terus bersama-sama dengan anda.
13. Bagaimana saya boleh baiki KEDUDUKAN KEWANGAN, prestasi jualan dan tingkatkan margin keuntungan saya dengan sistem francais-licensing?
Sistem francais-licensing membolehkan anda mengurus pemasaran dengan lebih cekap kerana kebanyakan tanggungjawab membuat promosi dan pengiklanan adalah tanggungjawab rakan niaga mengikut lokasi masing-masing. Kos operasi yang dapat dikurangkan serta pendapatan dari kutipan yuran, royalti dan pembekalan stok kepada rakan niaga akan membantu kearah meningkatkan peratus margin keuntungan. Anda juga dapat meningkatkan margin keuntungan dari sumber pendapatan tambahan tanpa kos seperti penyewaan lot / premis, kenderaan saji atau peralatan utama kepada rakan niaga.
14. Kenapa tidak ramai usahawan bumiputera yang berjaya buat francais-licensing secara aktif dan betul berbanding usahawan non-bumi? Apa masalah sebenarnya?
Sistem francais-licensing adalah sistem yang sentiasa memerlukan usahawan berfikir pada aras tinggi, membuat banyak perancangan, kajian serta pembacaan agar sentiasa kekal relevan dalam pasaran. Rakan niaga juga perlu diurus secara sistematik mengikut amalan terbaik industri. Semua ini memerlukan disiplin dalam diri seseorang usahawan yang ingin bina rantaian francais-licensing yang berjaya.
15. Saya dah buat licensing dan ada beberapa orang rakan niaga tetapi mereka tidak mahu mengikut standard operasi saya. Apa saya perlu lakukan?
Tindakan yang boleh anda ambil bergantung kepada klausa-klausa dalam perjanjian anda dengan rakan niaga. Oleh yang demikian amat penting untuk anda melantik peguam korporat yang berpengalaman dalam penyediaan perjanjian francais-licensing.
16. Bolehkah saya jual perniagaan saya selepas berjaya buat francais-licensing?
Anda boleh menjual sebahagian (saham) atau keseluruhan perniagaan anda pada harga yang tinggi kerana rantaian francais-licensing sedia ada akan memberikan nilai dari segi aset perniagaan, standard operasi, penjenamaan, kualiti rakan niaga serta pendapatan yang disumbangkan.
17. Kenapa ada perniagaan francais-licensing yang gagal walaupun kelihatan gah pada awalnya?
Selain dari ego yang semakin besar dalam diri, kebanyakan pemilik perniagaan francais-licensing yang berjaya membina rantaian perniagaan akan berhenti belajar untuk menambah baik perniagaan kerana merasakan sudah cukup dengan pencapaian dan apa yang mereka lakukan akan kekal betul. Semakin masa (perniagaan) berjalan akan timbul isu serta konflik dari rakan niaga dan berlaku perubahan pada pasaran modal, bahan mentah dan ekonomi semasa. Semua ini memerlukan pemilik perniagaan sentiasa membuat persediaan.
18. Apakah kelebihan yang ada jika saya buat sistem francais-licensing?
Sistem francais-licensing dapat membantu anda mengurangkan bebanan (kos) operasi, meningkatkan jualan dari saluran pengedaran (rakan niaga) sendiri, memperbaiki aliran tunai, meningkatkan margin keuntungan, memasuki pasaran yang lebih besar, meningkatkan nilai perniagaan dan menjana modal tanpa perlu membuat pinjaman bank.
19. Perlukah saya lantik peguam untuk urus perjanjian francais-licensing?
Untuk francais anda perlu melantik peguam kerana melibatkan pematuhan dalam Akta Francais. Untuk licensing anda boleh menyediakan perjanjian sendiri dan dimati setem di pejabat Lembaga Hasil. Walaubagaimanapun cara ini melindungi perniagaan anda dengan agak ‘longgar / loose’ berbanding jika anda melantik peguam untuk menyediakan perjanjian licensing yang lebih mendalam dan boleh memberi kelebihan kepada anda. Pada masa yang sama peguam boleh mewakili (menjaga kepentingan) anda jika timbul sebarang isu / masalah dengan rakan niaga.
20. Berapa lama perjanjian francais-licensing dengan rakan niaga boleh dibuat?
Untuk francais tempoh perjanjian minima diantara anda dengan francaisi adalah 5 tahun. Bergantung kepada perniagaan, perjanjian boleh mencapai sehingga 20 tahun.Untuk licensing perjanjian dengan licensee bergantung kepada keperluan anda (pada kebiasaannya antara 2-3 tahun).
21. Siapa yang sesuai jadi rakan niaga francais-licensing saya kelak?
Ciri-ciri individu yang sesuai untuk menjadi rakan niaga anda perlu mempunyai minat dalam perniagaan yang ditawarkan, boleh memberi komitmen untuk menghadiri latihan secara penuh, boleh mematuhi arahan operasi, boleh mematuhi perjanjian dan mempunyai kemampuan kewangan untuk membuat pelaburan permulaan.
22. Berapa kos sebenar jika saya ingin lantik perunding bangunkan sistem francais-licensing bagi pihak saya?
Yuran perkhidmatan perunding dalam pasaran adalah antara RM25,000-RM180,000 bergantung kepada skop perkhidmatan, jenis dan saiz perniagaan anda.
23. Bagaimana saya boleh menyakinkan bakal rakan niaga untuk melabur (membeli) kedalam perniagaan saya?
Selain dari konsep perniagaan yang menarik, untuk menyakinkan bakal pelabur anda perlu merancang penawaran peluang perniagaan yang mampu milik (mengikut industri), opersari yang dipermudahkan, margin keuntungan yang selesa, latihan yang menyeluruh, sokongan selepas operasi, jaminan bekalan dan pencapaian tempoh pulangan atas pelaburan (ROI) yang munasabah.
24. Dimana saya BOLEH jual pakej perniagaan francais-licensing?
Kebanyakan perniagaan rantaian francais-licensing berkembang secara organik. Penawaran pada kebiasaanya dibuat dalam outlet (in-store) melalui hebahan material ‘point-of sales’. Jarang sekali pemilik francais-licensing membuat pengiklanan secara am untuk menarik rakan niaga / pelabur kerana pertanyaan untuk membeli peluang perniagaan akan datang secara sendiri dari prospek (pelanggan) yang tahu, pernah berurusan dan yakin dengan perniagaaan tersebut. Persepsi positif prospek ini adalah hasil dari kualiti produk dan perkhidmatan yang mereka dapat apabila membeli (menjadi pelanggan) perniagaan.
25. Saya ingin beli peluang perniagaan. Apa perlu saya tahu sebelum membeli?
Sila rujuk kepada bahagian blog dibawah tajuk ‘Panduan Membeli Pakej Peluang Bisnes Untuk Bakal Rakan Niaga’